Search This Blog

Friday 2 December 2011

KEBERKESANAN AKTA DALAM DEMOKRASI

Dalam isu keberkesanan akta dalam demokrasi dalam ruangan ini saya menumpukan kepada keberkesanan akta komunikasi dan multimedia. Akta komunikasi dan multimedia (Seksyen 3(3)) telah digubal pada tahun pada tahun 1998. Akta ini telah dikuatkuasakan pada tahun 1998 oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan  Kebudayaan. Akta ini berfungsi bagi memantau industri komunikasi dan multimedia di Malaysia.
          Namun begitu, akta ini tidak memperuntukkan sebarang penapisan dalam internet. Setiap bahan-bahan dan maklumat sama ada dari segi hiburan, sosial, politik, pendidikan dan sebagainya dapat disiarkan dalam internet tanpa sebarang kawalan dan sekatan oleh mana-mana pihak. Hal ini seterusnya telah menyebabkan wujudnya kebebasan kepada pengguna internet serta para bloggers khususnya dalam mendapatkan atau menyampaikan sebarang maklumat melalui internet. Biasanya, maklumat-maklumat yang disampaikan oleh blogger khususnya adalah berdasarkan pandangan mereka terhadap sesuatu isu yang berlaku dalam sesebuah negara.
          Selalunya dalam blog atau sesuatu laman web yang diakses oleh pembaca akan membolehkan pembaca memberi respond terhadap segala isu yang menjadi topik kepada maklumat yang disampaikan. Di sini kita dapat melihat bahawa wujudnya ‘public sphere’ dalam kalangan pembaca sendiri. Pembaca turut dapat memberi sebarang pendapat secara terbuka tanpa perlu rasa takut kerana identiti mereka tidak dapat diketahui oleh sesiapa pun. Begitu juga dengan penulis blog yang bebas menulis dan menyampaikan sebarang bentuk penulisan mereka sama ada positif atau negatif. Situasi ini telah membuktikan bahawa Akta Komunikasi dan Multimedia sememangnya telah mewujudkan satu konteks demokrasi yang sebenar dalam negara Malaysia.
          Walaupun akta komunikasi dan multimedia ini telah memberikan kebebasan terutamanya terhadap teknologi komunikasi namun ia juga turut memberi impak negatif. Impak negatif tersebut telah dinyatakan dalam posting sebelum ini. Keadaan ini telah mendorong menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim ingin menguatkuasakan akta ini. Menurut beliau, kerajaan sebenarnya tidak akan menyekat kebebasan rakyat terhadap penggunaan internet dalam mendapatkan pelbagai maklumat ataupun menyampaikan sebarang bentuk maklumat. Beliau menegaskan bahawa penguatkuasaan ini perlu kerana rakyat tidak boleh menerima sebarang maklumat kerana  kesahihan maklumat tersebut belum dipastikan.
            Hal ini jelas menunjukkan bahawa fungsi akta tersebut telah memberi kesan sama ada baik mahupun buruk kepada masyarakat di Malaysia ini. Walaupun jelas bahawa akta ini memberikan kebebasan kepada semua orang, namun masih ada golongan yang menyalahgunakan kebebasan tersebut misalnya penyebaran fitnah, pornografi, dan budaya-budaya yang bertentangan dengan nilai kehidupan masyarakat kita.