Search This Blog

Saturday 26 November 2011

Peranan Masyarakat Sivil Terhadap Pendemokrasian Di Malaysia

Menurut Gallie (1964: 158), demokrasi merupakan satu sistem politik yang dikenali juga sebagai "essentially contested concept" iaitu terdapat persaingan dalam sistem politik itu sendiri.
Para sarjana seperti Dahl (1989), beranggapan bahawa sistem demokrasi merupakan sistem yang mementingkan pandangan rakyat terhadap ketelusan pemerintahan sesebuah kerajaan.
Berlainan pula dengan M. Natsir (1987: 45), demokrasi berbeza dengan pemerintahan kuku besi dan disebut sebagai thesistik-demokrasi iaitu sistem pemerintahan yang mengutamakan rakyat tetapi masih berpaksi kepada hukum-hukum Allah.
Heimanson (1967: 53) pula berpendapat proses pendemokrasian merupakan pelaksaan demokrasi terhadap sesuatu kawasan.

Menurut Syed Ahmad (1994: 96-98) pula, dalam pelaksanaan demokrasi, aspek penyertaan rakyat dalam proses pemilihan kerajaan dianggap penting selain daripada aspek keadilan dan kesaksamaan.
Zaini (2006: 29) juga mengatakan bahawa tahap demokrasi sesebuah negara dapat diukur melalui pilihanraya yang bersih, kebebasan awam, bebas berorganisasi, pemilihan berdasarkan majoriti, ketelusan kehakiman, dan masyarakat sivil.


Masyarakat sivil merupakan golongan masyarakat yang sukarela dan aktif dengan bantuan badan pertubuhan sivik dan sosial, institusi-institusi media massa, dan organisasi swasta dalam memperjuangkan hak-hak asasi manusia.


Pendapat Kua (1995: 53), cara-cara masyarakat sivil dalam proses pendemokrasian seperti demonstrasi aman, pengedaran risalah kempen dan mengadakan rapat umum telah menyebabkan kerajaan memberi perhatian oleh kerana tekanan yang diterima daripada masyarakat antarabangsa.
Menurut Kua (2005: 21-25) lagi, masyarakat sivil berada di kedudukan antara ruang massa dan kerajaan. Oleh itu, hal ini menjadi agen pendemokrasian yang sesuai dalam menggerakkan setiap kempen yang dilaksanakan. Antara salah satu indikator yang digunakan dalam mengukur tahap demokrasi sesebuah negara ialah melalui pengamalan konsep "Rule Of Law".


Peranan masyarakat sivil di Malaysia terhadap proses pendemokrasian dapat dilihat melalui usaha-usaha pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dalam memartabatkan hak asasi manusia. NGO berperanan sebagai kumpulan pendesak kepada keteluusan pemerintahan kerajaan. Contohnya dapat dikesan berdasarkan kemunculan BERSIH iaitu gabungan NGO dengan parti pembangkang yang menggesa Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) untuk memperkenalkan sistem pencelupan jari dengan dakwat untuk pilihanraya akan datang bagi mengelakkan pengundi hantu. Hal ini bertujuan untuk mewujudkan sistem demokrasi yang tulen dan pilihanraya yang adil. Gesaan ini berjaya apabila pihak SPR bersetuju melaksanakan teknik tersebut.

Selain itu, masyarakat sivil di Malaysia juga mewujudkan pertubuhan gerakan demokrasi dan anti korupsi untuk mendesak kerajaan membersih dan merekonstruksi semula Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya perkhidmatan BPR akan menjadi lebih telus dan tidak berat sebelah dalam menjalankan tugasan.
Malah, BPR perlu diberi kuasa pendakwaan ke atas kes-kes rasuah tanpa perlu merujuk kepada Jabatan Peguam Negara.
Kesan daripada gesaan ini, kerajaan Malaysia bertindak tidak meneruskan kontrak Ketua Pengarah BPR serta mempergiatkan kempen benteras rasuah dalam kalangan pegawai kanan kerajaan.
Ditafsirkan sebagai kumpulan pendesak, masyarakat sivil berperanan sebagai "watchdog" dan pengimbang kepada kuasa kerajaan. Hal ini mendorong kepada proses pendemokrasian yang utuh di Malaysia.

Kesimpulannya, menurut Zaini (2006: 30), kewujudan masyarakat sivil dianggap sebagai penanda aras kepada sistem demokrasi. Oleh itu, hal ini tidak bolah dipandang sinis kerana ia merupakan salah satu tonggak kepada demokrasi dan pendemokrasian sesebuah negara. Masyarakat sivil merupakan agen pendemokrasian yang tidak berpaksikan kepada sesebuah parti politik atau kepentingan politik, tetapi sebagai ruang antara kerajaan dengan masyarakat.

Sumber:
Gallie W B. (1964). Philospher Of Peace And War. Cambridge: Cambridge University Press
Dahl R. (1989). Democracy And Its Critics. New Haven: Yale University Press
M. Natsir (1987). Demokrasi Di Bawah Hukum. Jakarta: Media Dakwah Press
Heimanson R. (1967). Dictionary Of Political Science And Law. New York: Ocean Publications.
Kua Kia Soong (2005). The Malaysian Civil Movement. Petaling Jaya: SIRD.
Zaini Othman (2006). Demokrasi Di Negara Sedang Membangun: Pengalaman Asia. Dalam Ghazali Mayudin. Demokrasi Kepimpinan Dan Keselamatan Dalam Politik Malaysia. Bangi: Penerbitan Universiti Kebangsaan Malaysia.