Search This Blog

Thursday 27 October 2011

-WORKING...is to win the WAR to be THE KING-

 DEMOKRASI & 'NEW MEDIA' DI MALAYSIA !

Malaysia telah mengamalkan pemerintahan bercorak demokrasi sejak merdeka sehinggalah pada hari ini. Konsep demokrasi yang diamalkan di Malaysia ialah satu pemerintahan yang menggunakan suara rakyat dalam menentukan pemimpin negara dan perjalanan pentadbiran negara. Dengan kata lain, demokrasi adalah pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat. Oleh hal yang demikian, adalah sangat penting bagi tampuk pemerintahan negara untuk terus mengekalkan keharmonian setiap lapisan masyarakat dengan membekalkan mereka corak demokrasi yang jelas dan telus. Pada abad ke-20, perkembangan teknologi yang pesat telah memperkenalkan kita dengan dunia tanpa sempadan melalui proses globalisasi. 'New media' atau media baru ini adalah digital media yang menyokong pelbagai bentuk kandungan media seperti data,teks, bunyi, imej dan sebagainya yang disimpan dalam format digital dan disebarkan melalui jaringan internet. Sebagai contoh, media baru yang sering digunakan oleh masyarakat kini adalah seperti You Tube, Facebook, Twitter, Flickr, Skype, Blogspot, Web dan lain-lain. Bolter & Grusin (1999) dan Manovich (2001) berpendapat, media baru terhasil daripada  proses 'meminjam' atau 'fesyen semula'  media lama ke bentuk yang baru. Hal ini jelas menunjukkan, banyak pembaharuan yang berterusan akan berlaku dalam pelbagai aspek kehidupan termasuklah tentang cara kita menyampaikan idea dan fahaman, aktiviti dan amalan komunikasi serta susunan sosial dan organisasi. menurut John Beetle (1977:205),  "apabila setiap rumah mempunyai jaringan komunikasi maya, maka individu akan dapat mengambil bahagian dalam proses politik di setiap peringkat sama ada di peringkat kerajaan tempatan, peringkat nasional mahupun peringkat antarabangsa. keupayaan untuk meneliti agenda dan laporan majlis tempatan, seterusnya akan menghasilkan kesedaran politik yang besar dalam budaya yang tidak begitu peka tentang dunia politik apabila peranan dan fungsi ahli-ahli majlis tempatan dan ahli parlimen sering disalahtafsirkan". Wujudnya media baru secara langsung telah memudahkan proses demokrasi. Media baru telah menawarkan lebih banyak informasi boleh diperoleh secara online dan pantas. Sebagai contoh, rakyat boleh mengakses maklumat tentang fakta-fakta yang ingin diketahui dalam pentadbiran negara termasuk maklumat daripada jabatan kerajaan, perpustakaan, hiburan, ekonomi ,kesihatan, politik, pendidikan, peluang pekerjaan dan sebagainya. Selain itu, media baru juga menawarkan akses kepada semua jenis perbahasan yang dapat diperluaskan tanpa batasan. rakyat dapat mengenali aktor-aktor politik beserta dasar-dasar yang mereka perjuangkan. Penglibatan aktif institusi politik di Malaysia dalam menggunakan media baru menunjukkan bahawa iklim demokrasi secara terus berlaku apabila penglibatan melalui akses menjadi mudah dan senang kepada pihak pembuat keputusan membuat keputusan mengenai sesuatu isu tanpa perlu bergerak. seterusnya ini menjadikan sistem demokrasi negara ditadbir oleh wakil-wakil yang akauntabiliti kepada rakyat kerana mereka berusaha untuk mengenali dan berinteraksi dengan rakyat yang mereka wakili melalui media baru. Misalnya, daripada segi politik, Pilihanraya Umum (PRU) yang ke 12 pada 8 Mac 2008 yang lalu, membuktikan bahawa rakyat Malaysia sudah bersedia untuk berhadapan dengan situasi demokrasi yang lebih meluas. Seperti yang kita semua maklumi, Parti Pakatan Rakyat (PKR) yang dinaungi oleh Dato' Sri Anuar Ibrahim merupakan pencabar utama kepada parti Barisan Nasional (BN) yang telah mendominasi politik Malaysia sejak sekian lama. Lahirnya Barisan Alternatif, telah menyemarakkan lagi demokrasi di Malaysia.  Penggunaan media baru dikatakan antara faktor utama kemenangan besar parti PKR. Perancangan jangka panjang diatur dan diperluaskan oleh medium digital sehingga mampu meraih undi yang banyak dari pelbagai golongan masyarakat. Kesimpulannya, masyarakat kini lebih bijak menilai antara benar dan palsu. Kebebasan mendapatkan informasi melalui jaringan maya telah membuka ruang dan peluang untuk masyarakat lebih berani bersuara memberi pandangan ,idea dan proses membuat keputusan dalam melayari arus demokrasi di Malaysia.  <3 <3 <3 !!