Search This Blog

Saturday 19 November 2011

Perkembangan Blog Politik di Malaysia



Secara amnya, blog politik boleh didefinisikan sebagai blog yang sering mengetengahkan isu-isu yang berkait rapat dengan politik. Ianya juga turut berperanan sebagai medium alternatif bagi menyatakan pendapat, mengkritik, menghentam, mahupun memuji sesuatu isu yang berkaitan dengan politik. Antara elemen yang penting dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi dan kebebasan bersuara, seharusnya sesebuah kerajaan boleh dikritik tanpa sebarang sekatan. Namun, ini jelas tidak dapat direalisasikan sepenuhnya di Malaysia kerana masih ada banyak halangan yang wujud, antaranya masalah daripada segi perundangan.
Menurut Wall (2005), antara faktor utama kepada peningkatan penggunaan blog adalah disebabkan oleh sifatnya yang dinamik, universal, kebebasan di dalam menyuarakan pandangan penulis, bebas daripada suntingan dan tidak tertakluk kepada sebarang polisi seperti di dalam organisasi media, mudah untuk dikemaskini serta memiliki rangkaian jaringan dan komentar kepada lain-lain blog sekaligus mewujudkan rangkaian yang dikenali sebagai blogsphere. Selain itu, sekatan yang dikenakan ke atas aliran media perdana juga turut dijadikan punca kepada tercetusnya kebangkitan media alternative. Ini kerana pemilikan media aliran perdana yang didominasi oleh golongan politik yang berkepentingan membawa kepada kawalan ke atas maklumat yang disampaikan. Mengikut Hiller (2001), dalam konteks Malaysia, UMNO merupakan parti politik yang bernaung dibawah kerajaan persekutuan turut melabur ke atas Fleet Holdings dan Renong Berhad seterusnya membawa kepada pemilikan bersama akhbar Utusan Melayu dan New Straits Times Press (NSTP). Oleh demikian, media alternatif ini telah berkembang dengan pesat dialam maya bagi membolehkan para pembaca dan penggemar blog saling berhujah, mengkritik, bertukar dan menyuarakan pendapat masing-masing mengenai suasana politik di tanah air tanpa perlu risau akan sebarang ancaman undang-undang.
 Kesan yang diakibatkan oleh penggunaan internet (blog) terhadap aspek politik juga sememangnya mendapat perhatian daripada para pengkaji berikutan sifat internet itu sendiri yang tidak terikat dan dikawal oleh mana-mana pihak mahupun gatekeepers seperti yang terdapat dalam kebanyakan media massa arus perdana.Malahan keadaannya akan dapat dilihat dengan lebih jelas sekiranya sesebuah negara itu mengenakan sebarang bentuk sekatan terhadap kebebasan medianya menerusi aspek pemilikan mahupun undang-undang. Jika ini terjadi maka media alternatif seperti blog akan menjadi platform untuk mendapatkan maklumat oleh rakyat. Perkembangan blog politik di Malaysia bukanlah suatu fenomena yang luar biasa. Ini kerana fenomena ini bersifat global dan berlaku diseluruh dunia dimana blog dijadikan medium menjana idea dan pendapat sekaligus memberikan impak yang besar kepada lanskap politik dan sosio ekonomi sesebuah negara.
Blog di Malaysia telah kian berkembang rentetan daripada peristiwa yang telah terjadi contohnya seperti peristiwa kegawatan ekonomi global yang banyak membawa perubahan serta memberikan impak yang besar kepada Malaysia. Selain itu, peristiwa pada tahun 1998 juga banyak menyumbang ke arah perkembangan ini apabila Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatannya pada ketika itu, sebagai Timbalan Perdana Menteri seterusnya dituduh atas kesalahan menyalahgunakan kuasa politik dan isu liwat sehingga mengakibatkan beliau dihukum penjara. Rentetan-rentetan peristiwa ini telah menjadi pemangkin utama kepada peningkatan penggunaan internet. Tambahan pula, kebanyakan media arus perdana contohnya seperti Utusan dan RTM sememangnya diselia penuh dan dikuasai oleh kerajaan pemerintah membuatkan media alternatif seperti blog mendapat perhatian ramai dalam mendapatkan berita dan maklumat tanpa berat sebelah (biased). Sepertimana yang dinyatakan oleh, Abbott dan Gomez (2004), Internet dilihat sebagai titik peralihan kepada liberalisasi dan kebebasan menyuarakan pendapat dan pandangan tanpa melalui tapisan.

Berdasarkan kenyataan yang pernah disebut oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Musa Hitam:
Internet diabaikan oleh ahli politik sebaliknya ia menjadi alat penting oleh pengkritik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membentuk dan mengacuankan pandangan umum. Medium itu menjadi penting akibat keruntuhan kredibiliti media cetak dan elektronik tradisional. Keadaan itu membuatkan kita semua menerima digital sebagai alternatif media dan sebagai saluran meluahkan pandangan. Ia juga penting kerana menandakan kemasukan pengundi muda yang jumlahnya begitu besar (Utusan Online,2008).

Kenyataan beliau membuktikan bahawa betapa media alternatif dan blog memberi kesan signifikan dalam menyalurkan maklumat yang sekaligus boleh mempengaruhi pemikiran rakyat secara amnya. Keseriusan impak itu boleh menjurus kepada perubahan yang besar kepada sistem politik tanah air contohnya seperti apa yang berlaku ketika era pemerintahan bekas Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi dimana beliau telah menggunakan konsep dan pendekatan yang berbeza berbanding dengan apa yang pernah dilakukan oleh Perdana Menteri yang sebelumnya, Mahathir Mohamad. Abdullah telah berjaya mengembalikan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) dengan meraih kemenangan besar dalam Pilhanraya Umum 2004. Namun pada hakikatnya, beliau seringkali dijadikan sasaran kritikan ketika memimpin negara dari 2003-2009 berikutan dengan dasar pentadbirannya yang dilihat sebagai lemah.

Apakah yang dimaksudkan dengan lemah? Abdullah meneruskan tradisi pemerintahan yang sebelumnya tanpa banyak perubahan yang dilakukan khususnya terhadap aspek dasar yang terdahulu. Pentadbiran beliau juga dilihat lebih kepada bersifat terbuka, mementingkan kesepakatan dan bersifat kurang konfrontasi sekaligus membuatkan beliau lemah dan akhirnya tumbang dalam PRU-12 seterusnya menyumbang ke arah keretakan hegemoni yang diterajui kerajaan beliau. Daripada sudut teori, Hegemoni adalah merupakan satu konsep yang diilhamkan oleh Antonio Gramsci (1891-1937) menerusi penulisannya yang terkenal “The Prison Notebook” dimana ia bermaksud keadaan dalam satu-satu situasi golongan dominan yang melaksanakan kepimpinannya menerusi penggabungan elemen paksaan ke atas kelas yang dipimpin dan cuba untuk mengekalkan kuasa ke atas aspek ekonomi, politik dan arah aliran budaya negara (Sullivan, 1983:102).



Hegemoni pemerintahan Abdullah dilihat telah terhakis berikutan tindakan anggota masyarakat yang secara terang-terangan berani menyatakan bantahan terhadap tampuk kepimpinan yang dirasakan tidak relevan dengan keadaan semasa yang juga dikenali sebagai “counter-hegemony” iaitu satu sekatan yang dilakukan ke atas perluasan hegemoni oleh para pemimpin dan golongan elit yang sentiasa mengawal tindak-tanduk masyarakat. Menurut Azila& Sulastry (2009), senario berkenaan kian memuncak menerusi penggunaan ruang siber (blog) oleh golongan masyarakat meliputi pelbagai latar belakang dalam menyuarakan pandangan mereka secara terbuka di dalam blog-blog persendirian.

Oleh demikian, kekalahan besar telah terjadi kepada kerajaan pimpinan Abdullah Ahmad Badawi ketika PRU-12 dimana ianya memberi tamparan yang cukup hebat setelah pakatan pembangkang yang hanya berkempen dalam tempoh yang singkat akhirnya berjaya menggagalkan BN dalam memperoleh 2/3 majoriti kerusi parlimen. Pelbagai peristiwa semasa dan sebelumnya juga turut banyak menyumbang kepada kekalahan BN khususnya di lima buah negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.
Kesimpulannya, blog dilihat sebagai medium alternatif yang sangat penting dalam mengupas, mengkritik dan membincang isu-isu semasa dalam negara yang telah membuka mata ramai pihak dalam mendedahkan segala maklumat yang disembunyikan oleh pihak pemerintah menerusi media aliran perdana. Antara isu-isu yang telah meraih perhatian blogger adalah isu penyelewengan, penderaan, korupsi, skandal dan salah laku pemimpin. Justeru itu, melalui pendekatan blog, pembaca akan mendapat maklumat yang lebih seimbang sekaligus membentuk pandangan mereka sebelum mengundi dalam pilihan raya.


1 comment: