Search This Blog

Friday 18 November 2011

Perbandingan di antara negara yang mengamalkan demokrasi dengan negara yang tidak mengamalkan demokrasi

Malaysia telah mengamalkan pemerintahan bercorak demokrasi sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Selain Malaysia, terdapat pelbagai negara lagi di seluruh dunia yang mengamalkan sistem demokrasi. Antara negara-negara yang mengamalkan pemerintahan demokrasi adalah seperti Malaysia, Thailand, Britain, India, Australia dan sebagainya. Namun, terdapat juga segelintir negara yang sistem pemerintahannya berlainan iaitu seperti sistem pemerintahan Diktator, Komunisme, Liberal dan Republik. Negara seperti China dan Korea Utara, Rusia, Laos dan Vietnam merupakan negara komunis. Indonesia, Perancis, dan Singapura merupakan contoh negara Republik.
          Perbandingan di antara negara demokrasi dengan negara bukan demokrasi dapat dilihat dan dibezakan dengan jelas melalui undang-undang dan sistem pemerintahan yang dijalankan terhadap rakyat. Bagi negara yang mengamalkan pemerintahan demokrasi, rakyat mempunyai kebebasan bersuara serta kebebasan dalam kehidupan seharian. Rakyat mempunyai hak dalam semua aspek selagi tidak membatasi undang-undang yang telah ditetapkan oleh parlimen. Antara hak rakyat adalah dari segi ekonomi, sosial, agama dan budaya, pendidikan dan sebagainya. Kerajaan tidak boleh menyekat semua hak-hak rakyat dan perlu menjaga kebebasan rakyat dalam negara yang ditadbir hasil pemilihan oleh rakyat sendiri.
          Selain itu, negara demokrasi juga mengamalkan pemilihan pemimpin secara undian yang adil di mana seseorang pemimpin akan dipilih oleh rakyat sendiri dan sekiranya pilihan raya dikawal oleh pihak tertentu atau kerajaan maka ia bukanlah demokrasi seperti yang dimaksudkan. Media massa juga mempunyai hak penyiaran yang bebas untuk menyampaikan berita tanpa dikawal oleh mana-mana pihak di mana semua bahan berita yang disampaikan adalah jujur dan amanah.
          Manakala bagi negara yang tidak mengamalkan sistem pemerintahan berdemokrasi seperti komunis, pemerintah mempunyai kuasa dalam semua perkara dan menguasai segala aspek seperti ekonomi. Rakyat tidak mempunyai hak dan perlu patuh kepada peraturan yang ditetapkan oleh pemerintah dan juga mengamalkan sistem kesetaraan penduduk. Bagi negara Republik pula, kerajaan menguasai semua undang-undang sama ada dalam negeri dan juga negara. Tiada pembahagian kuasa antara negeri dengan negara dan Presiden berkuasa dalam semua aspek.
          Seterusnya negara Liberal seperti Turki di mana pemerintahannya berasaskan kebebasan yang menjadi nilai utama politik. Negara liberal juga menolak pembatasan iaitu dari segi pemerintah dan juga agama. Sebuah negara yang tidak mempunyai agama rasmi dan rakyat tidak boleh mengamalkan atau menonjolkan agama di kawasan awam seperti tidak boleh memakai serban dan hijab bagi penganut islam.
          Dapat dilihat bahawa terdapat banyak perbezaan antara negara demokrasi dengan negara bukan demokrasi dari segi undang-undang dan hak rakyat. Dapat disimpulkan bahawa negara demokrasi menjadi pilihan utama masyarakat dunia pada masa kini kerana masyarakat sedar akan hak mereka sebagai manusia. Negara-negara seperti Komunis, Liberal dan Diktator semakin kurang pengikut dari semasa ke semasa. Namun begitu, pemimpin negara demokrasi juga haruslah jujur dan mengamalkan pemerintahan secara demokrasi  terhadap rakyat supaya erti demokrasi itu tidak tercemar.

No comments:

Post a Comment