Search This Blog

Thursday 27 October 2011

-WORKING...is to win the WAR to be THE KING-

 DEMOKRASI & 'NEW MEDIA' DI MALAYSIA !

Malaysia telah mengamalkan pemerintahan bercorak demokrasi sejak merdeka sehinggalah pada hari ini. Konsep demokrasi yang diamalkan di Malaysia ialah satu pemerintahan yang menggunakan suara rakyat dalam menentukan pemimpin negara dan perjalanan pentadbiran negara. Dengan kata lain, demokrasi adalah pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat. Oleh hal yang demikian, adalah sangat penting bagi tampuk pemerintahan negara untuk terus mengekalkan keharmonian setiap lapisan masyarakat dengan membekalkan mereka corak demokrasi yang jelas dan telus. Pada abad ke-20, perkembangan teknologi yang pesat telah memperkenalkan kita dengan dunia tanpa sempadan melalui proses globalisasi. 'New media' atau media baru ini adalah digital media yang menyokong pelbagai bentuk kandungan media seperti data,teks, bunyi, imej dan sebagainya yang disimpan dalam format digital dan disebarkan melalui jaringan internet. Sebagai contoh, media baru yang sering digunakan oleh masyarakat kini adalah seperti You Tube, Facebook, Twitter, Flickr, Skype, Blogspot, Web dan lain-lain. Bolter & Grusin (1999) dan Manovich (2001) berpendapat, media baru terhasil daripada  proses 'meminjam' atau 'fesyen semula'  media lama ke bentuk yang baru. Hal ini jelas menunjukkan, banyak pembaharuan yang berterusan akan berlaku dalam pelbagai aspek kehidupan termasuklah tentang cara kita menyampaikan idea dan fahaman, aktiviti dan amalan komunikasi serta susunan sosial dan organisasi. menurut John Beetle (1977:205),  "apabila setiap rumah mempunyai jaringan komunikasi maya, maka individu akan dapat mengambil bahagian dalam proses politik di setiap peringkat sama ada di peringkat kerajaan tempatan, peringkat nasional mahupun peringkat antarabangsa. keupayaan untuk meneliti agenda dan laporan majlis tempatan, seterusnya akan menghasilkan kesedaran politik yang besar dalam budaya yang tidak begitu peka tentang dunia politik apabila peranan dan fungsi ahli-ahli majlis tempatan dan ahli parlimen sering disalahtafsirkan". Wujudnya media baru secara langsung telah memudahkan proses demokrasi. Media baru telah menawarkan lebih banyak informasi boleh diperoleh secara online dan pantas. Sebagai contoh, rakyat boleh mengakses maklumat tentang fakta-fakta yang ingin diketahui dalam pentadbiran negara termasuk maklumat daripada jabatan kerajaan, perpustakaan, hiburan, ekonomi ,kesihatan, politik, pendidikan, peluang pekerjaan dan sebagainya. Selain itu, media baru juga menawarkan akses kepada semua jenis perbahasan yang dapat diperluaskan tanpa batasan. rakyat dapat mengenali aktor-aktor politik beserta dasar-dasar yang mereka perjuangkan. Penglibatan aktif institusi politik di Malaysia dalam menggunakan media baru menunjukkan bahawa iklim demokrasi secara terus berlaku apabila penglibatan melalui akses menjadi mudah dan senang kepada pihak pembuat keputusan membuat keputusan mengenai sesuatu isu tanpa perlu bergerak. seterusnya ini menjadikan sistem demokrasi negara ditadbir oleh wakil-wakil yang akauntabiliti kepada rakyat kerana mereka berusaha untuk mengenali dan berinteraksi dengan rakyat yang mereka wakili melalui media baru. Misalnya, daripada segi politik, Pilihanraya Umum (PRU) yang ke 12 pada 8 Mac 2008 yang lalu, membuktikan bahawa rakyat Malaysia sudah bersedia untuk berhadapan dengan situasi demokrasi yang lebih meluas. Seperti yang kita semua maklumi, Parti Pakatan Rakyat (PKR) yang dinaungi oleh Dato' Sri Anuar Ibrahim merupakan pencabar utama kepada parti Barisan Nasional (BN) yang telah mendominasi politik Malaysia sejak sekian lama. Lahirnya Barisan Alternatif, telah menyemarakkan lagi demokrasi di Malaysia.  Penggunaan media baru dikatakan antara faktor utama kemenangan besar parti PKR. Perancangan jangka panjang diatur dan diperluaskan oleh medium digital sehingga mampu meraih undi yang banyak dari pelbagai golongan masyarakat. Kesimpulannya, masyarakat kini lebih bijak menilai antara benar dan palsu. Kebebasan mendapatkan informasi melalui jaringan maya telah membuka ruang dan peluang untuk masyarakat lebih berani bersuara memberi pandangan ,idea dan proses membuat keputusan dalam melayari arus demokrasi di Malaysia.  <3 <3 <3 !!





Tuesday 25 October 2011


RELEVANKAH MEDIA MASSA DIKATAKAN GAGAL DALAM PROSES DEMOKRASI DI MALAYSIA


 Komunikasi sering disinonimkan dengan media massa. Media massa dapat menunjukkan kepada kita apakah yang berlaku di dalam dunia sekeliling dan memberikan pemahaman mengapa ia berlaku. Ia menjadi saluran penting kepada masyarakat. Kejayaan sesebuah media massa adalah bergantung kepada populariti. Media massa penting dalam membenarkan individu mengambil bahagian dalam proses politik termasuk memilih kerajaan yang bakal dipimpin. Media merupakan agensi yang membawa informasi serta menjadi perantara.Media massa adalah alat yang digunakan dalam penyampaian pesan-pesan dari sumber kepada khalayak (menerima) dengan menggunakan alat-alat komunikasi mekanis seperti surat khabar, filem, radio, serta TV , (Cangara, 2002). Lazimnya ia terbahagi kepada media massa tradisional dan media massa moden seperti penggunaan internet.

Namun masyarakat di negara ini ada yang menganggap media massa di malaysia gagal terutamanya dalam proses demokrasi. Terdapat krisis komunikasi untuk kewarganegaraan antaranya Trivialisation. Media lebih memaparkan berita-berita remeh dan laporan perbahasan politik yang bermutu rendah. Hasilnya masyarakat tidak merasakan media massa dapat menjadi saluran terbaik dalam proses demokrasi.
            Selain itu berlaku fenomena persaingan untuk mendapatkan perhatian masyarakat. Setiap media memerlukan keuntungan, maka timbul konflik apabila media bersaing  dengan keuntungan dan maklumat terutamanya dalam soal politik. Media massa seharusnya menjaga semua hak, kebebasan dan peruntukan sistem demokratik. Hal ini akan menghasilkan berita yang kadang kala diada-adakan. Sesetengah media sama ada elektronik mahupun bercetak melahirkan perasaan teruja dalam penyampaian maklumat mengenai politik serta kaitannya dengan demokrasi yang direka semata-mata " contrive excitement". Jika dikaji secara mendalamnya, kebanyakan media massa lebih cepat memberikan laporan kepada masyarakat mengenai isu-isu panas seperti personaliti, kesalahan dan salahlaku seks yang melibatkan golongan ahli politik di malaysia. Sejauhmanakah demokrasi di malaysia akan dilihat bersih, berkualiti dan berjaya menyampaikan mesej demokrasi di Malaysia?. Tambahan lagi sesetengah media memberikan laporan mengenai demokrasi tentang isu-isu yang serius tetapi dijadikan hanya sebagai hiburan semata-mata. Adakah ini hanya mahu meraih sambutan dalam masyarakat?.Media massa tidak terkecuali dari dianggap " Distortion", yang sering berlaku kerana berpihak-pihak serta bias kepada sesetengah pihak yang lain. Media yang beroperasi melalui lesen dan peraturan yang dikeluarkan oleh kerajaan akan menghadapi tekanan setiap kali mereka menimbulkan isu yang bersabit dengan orang-orang yang berkuasa. Bagaimanakah dengan pihak yang tertindas dan inikah yang dinamakan demokrasi?? Media massa seperti ini hanya akan menjadi media yang defensif dan negatif. Mereka hanya akan menjadi pemerhati dan mengkritik dalam media tetapi tidak advocate, dimana penyampaian informasi dalam proses demokrasi tidak meneyebelahi atau membela rakyat. Adakah media massa akan dibeli oleh sesetengah pihak untuk kepentingan pemimpin menyampaikan ideologi masing-masing misalnya ketika demam pilihanraya di malaysia.



                                                                                 
                                                        Tetapi tidak semua media bersalah dalam hal ini kerana  Franklin (Bernett, 1997: 203) pernah berkata " The media  have not hijacked politics. The reserved proposition is true..that politicians have attempted to hijack the media, would  approximate the truth more closely". Bacaan Blumler (1996), turut menyebut  ".. a tendency for the principal commentors that is journalist and politicians to bring the worst rather than the best of each other".
Mungkinkah ia juga gagal kerana demokrasi itu sendiri yang bermasalah?. Umum sedia maklum bahawa di Malaysia kebebasan bersuara yang diamalkan adalah tidak bebas secara sepenuhnya. Misalnya penggunaan gelombang udara, pengedaran bahan cetak dan penggunaan ruang awam turut dikawal. Hal ini mengakibatkan walaupun adanya media massa yang berfungsi dalam sesebuah masyarakat tetapi ia tidak memberi makna jika kebebasan untuk mendapatkan informasi adalah yang tidak seimbang. Penyiaran radio, dan televisyen perlu mendapat permit tahunan dan sebarang perhimpunan harus mendapatkan permit daripada pihak kerajaan. Hal ini akan menyempitkan ruang kebebasan kepada masyarakat dalam melaksanakan proses demokrasi.

Media massa juga dikatakan gagal kerana penglibatan masyarakat di dalam proses politik negara adalah terhad dan tidak sama rata. Hal ini demikian kerana tidak semua orang mempunyai kemudahan akses yang sama. Sesetengah media massa terhad kepada orang yang mampu sahaja. Sesetengah liputan politik tidak dapat disebarkan kepada umum kerana keterbatasan dalam pemilikan media elektronik. Sesetengah masyarakat luar bandar dan pendalaman pula sukar memperolehi berita daripada media cetak kerana faktor demografi, serta topografi.
Media samada media cetak mahupun elektronik sangat penting dalam proses demokrasi. Menurut John Beetle (1977:205) “ Apabila setiap rumah mempunyai connectivity, individu akan dapat mengambil bahagian dalam proses politik dan demokrasi di peringkat kerajaan tempata, nasional dan antarabangsa. Keupayaan ini akan menghasilkan kesedaran politik yang besar dalam masyarakat yang tidak sedar tentang dimana peranan politik serta fungsi ahli-ahli majlis tempatan mahupun ahli parlimen yang sering disalahtafsirkan”.

Penggunaan media elektronik seperti penyampaian informasi melalui internet akan merubah “ the way news media work in developing countries as well as how civil society groups try to change society (Robie. n.d).” Melalui sesetengah website reformasi seperti FreeMalaysia.com telah menjadi dormant, selain itu mempunyai peningkatan dalam popularity. Ia berkait rapat dengan perkembangan dalam hubungan  politik yang kontroversi dan liputan yang meluas dalam media arus perdana.


Masalah perlu diselesaikan dengan pelbagai cara bagi membetulkan sesuatu keadaan. Seharusnya media massa perlu menyediakan informasi yang mengupayakan mereka menggunakan hak-hak yang telah ditetapkan. Tambahan lagi,  media massa perlu menyediakan pilihan-pilihan dengan menyediakan informasi yang luas serta interpretasi dan perdebatan yang mengupayakan masyarakat untuk membuat keputusan..Di bawah iklim demokrasi juga mereka perlu mengenalpasti kedudukan  atau kepentingan mereka dalam perdebatan demokrasi yang sedang berjalan dari semasa ke semasa. Maka relevankah media massa dikatakan gagal dalam proses demokrasi di Malaysia boleh dielakkan jika media massa tahu peranan dan tanggungjawab mereka sebagai penyebar informasi.media are cultural sites where the ideas of the powerful are circulated and where they can be contested”, Croteau & Hoynes (2000,166).

Thursday 20 October 2011

Boleh atau tidak media baru dianggap sebagai ‘SFERA AWAM’ dalam politik kini?


Media baru dianggap sebagai sfera awam kerana media seperti internet  telah memberi peluang  kepada masyarakat  mellibatkan diri dalam perdebatan  dan perbincangan  mengenai hal ehwal  politik . Hal ini dapat mengandaikan bahawa  internet berfungsi sebagai sfera awam yang memberikan  peluang kepada  masyarakat untuk  mengeluarkan pendapat mengenai politik  dan juga demokrasi.  Menurut Jurgen Habermas:
"sfera awam merupakan keadaan atau ruang terjadinya sesuatu komunikasi yang bebas daripada daripada dominasi  masyarakat tanpa adanya perasaan takut dan tekanan daripada mana-mana pihak'. Menurut Habermas ( Curran, 2003:39) 'kita memerlukan satu sfera awam demokratik.Kemunculan internet yang berperanan sebagai saluran alternatif  bagi mendapatkan berita dan maklumat  kepada orang rama pula  telah membuktikan  bahawa  penggunaan interne adalah “convenient”, interaktif, boleh diakses secara global, percuma dan menawarkan audio dan video seperti yang terdapat pada Utusan Online dan The Star Online bagi menarik minat pembaca. Mengenai kebebasan media dan perkembangan politik negara, isu- isu yang dibangkitkan oleh media menerusi akhbar online iaitu Utusan Online yang secara umumnya berperanan untuk mempertahankan dan menyiarkan dasar - dasar kerajaan untuk pengetahuan rakyat umum iaitu yang berkaitan dengan hal politik, khususnya perkembangan politik yang berlaku di Malaysia. (Penyelidikan Komunikasi,1993:417) .Selain itu, nilai berita dan ruang berita juga memainkan peranan dalam pelaporan sesuatu isu dalam akhbar online. Nilai berita merujuk kepada nilai ataupun intensiti sesebuah berita berbanding dengan berita lain. Ruang berita merangkumi jumlah ruang atau masa yang ada untuk siaran sesuatu pelaporan berita. 
 Namun, wujud kritikan Peter Dahglren terhadap Kekaburan Pandangan Habermas berkaitan Sfera Awam.  Misalnya, Peter Dahlgren mendedahkan pandangan Habermas adalah silap kerana sfera awam mengikut pandangan Habermas tidak memberi gambaran mewakili keseluruhan pandangan masyarakat.,satu ruang untuk bertukar pendapat tentang demokrasi'. Menurut Peter Dahlgren (2002) : dalam struktur masyarakat moden yang tidak membenarkan untuk munculnya perwakilan masyarakat dalam perbicaraan komunikasi politik kecuali dalam jumlah relatif kecil. Oleh itu, media massa pada akhirnya diharapkan menjadi institusi public sphere. Untuk membina semula konsep sfera awam sebagai kategori analitik, masyarakat tidak boleh bersikap pesimis (technophobic). Konsep sfera awam mestilah bersifat fleksibel, Pengembangan dan ketahanan sfera awam sebagai percapaian awam kita perlulah menyediakan visi yang kukuh untuk masyarakat demokratik yang lebih baik. Di samping perlu peka dengan keperluan tidak besar yang iaitu kesamaan dan  monolithic. Timbul juga perkara iaitu memperlihatkan proses dalam kehidupan sehari-hari yang berkaitan budaya media.
Jika dilihat senario pada masa kini pula, menunjukkan struktur institusi mahukan orde baru (new orde) dan kini media menjadi lebih rumit dan tidak dapat menjangka apakah arah tuju mereka. Dahlgren menyatakan kesan nation-state :
Negara berdepan dengan krisis entiti politik iaitu masyarakat mahu mewujudkan kerajaan demokratik yang adil. Kebangkitan pengembangan rasional komersial dan pembahagian khalayak. Kemunculan sfera awam dinamik alternatif yang bertentangan dengan mainstream.
Pergerakan media alternatif lebih berpengaruh berbanding mainstream kerana berhubungkait dengan kehidupan. Selain itu,media alternatif juga mampu  menjatuhkan  sesebuah kerajaan.
Media dikuasai melalui ekonomi politik media iaitu mereka yang berpengaruh menguasai media dengan hak milik dan pengawalan. Mereka daripada golongan elit menggunakan media sebagai platform untuk menyebarkan pengaruh dan ideologi mereka.
Dalam soal politik yang  merupakan proses yang melambangkan gelagat manusia yang mengandungi konflik  di antara kebaikan disebelah pihak dan kehendak -kehendak kumpulan di pihak yang diperlakukan atau diselesaikan dan kerapkali membabitkan penggunaan atau perebutan kuasa(Ashraft Richard,1980)
Sigmund Neumun ( 1963;190) mentakrifkan politik sebagai :
' organisasi yang bersendi  dengan organisasi politik , masyarakat perantaraan, begitu juga dengan sesiapa yang ada kaitan dengan kawalan kuasa Kerajaan dan sesiapa yang bertanding untuk mendapatkan sokongan daripada kumpulan lain atau kumpulan yang menyimpang pandangannya daripada yang lain'
Komunikasi politik merupakan satu sistem interaksi yang dinamik dalam menghasilkan, menerima dan mentafsir mesej politik( Blumer dan Gurevitch,1995). Media menjadi pencetus idea dalam proses politik serta demokrasi. Hal ini adalah kerana struktur organisasi, nilai, dan tradisi dapat mempertahankan  kedudukan  sebagai agen utama dalam sosial politik. Media menyediakan ''pemasaran idea' secara bebas iaitu masyarakat berhak menyuarakan  pendapat tanpa gangguan pihak kerajaan. ''Pemasaran  idea'' berperanan secara pasif iaitu menyediakan forum untuk pelbagai jenis kumpulan. dan individu diberikan peluang hujah dan pendapat mereka. Media dianggap sedemikian  kerana media berfungsi selaku ''Watchdog' iaitu menjaga kepentingan awam atau estet keempat  sebagai  entiti  yang berasingan yang tidak berada di bawah  kawalan mana-mana pihak  termasuklah pihak kerajaan ( Curran, 1991). Apabila  media massa berfungsi sebagai estet keempat ’fourth estate’, ia membolehkan pengamal media untuk menjalankan tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat dengan sepenuhnya tanpa ada pengaruh pihak-pihak  tertentu.
Contoh  situasi yang di Malaysia dikatakan internet berfungsi sebagai sfera awam dan turut menjadi ruang masyarakat untuk memperdebatkan sesuatu isu semasa. Misalnya, situasi politik di Malaysia yang memperdebatkan isu hudud mendapat perhatian masyarakat. Ruang blog, akhbar online, menjadi tempat kritikan, sebaran informasi dan luahan pendapat dari setiap lapisan masyarakat. 
Rakyat pula menganggap bahawa  blog merupakan media yang menginterpretasikan  segala pandangan  rakyat terhadap calon politik serta perkara yang berlaku di sekeliling dunia. Blog memaparkan isu - isu sensitif yang berkaitan dengan politik dan kes yang berprofil tinggi. Tambahan pula, blog mampu mendedahkan kebenaran sebenar tentang sesuatu isu dan keadaan politk sebenar di negara kita.
(Menurut Wheeler,1997) ; " Media baru yang beroperasi  di bawah sistem demokrasi dianggap menjadi sfera awam  bagi rakyat  untuk mengemukakan pandangan masyarakat dan mendesak pihak pemerintah supaya mematuhi segala kemahuan dan keputusan pengguna media baru''.
Sebagai satu contoh jelas, kita sebagai masyarakat Malaysia terutamanya yang terpelajar dan golongan muda menggunakan medium internet untuk mendapatkan berita- berita yang tidak disiarkan oleh media arus perdana. Misalnya, ‘Malaysia Today’ yang dikendalikan oleh Raja Petra mempunyai pengaruh paling besar apabila dengan berani mendedahkan penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin dan sekutu mereka. Percaya atau tidak, inilah kuasa media baru yang bertindak sebagai sfera awam. Mereka yang menggerakkan ‘maneuvering’ sesuatu isu itu ke arah sesuatu yang mahu dibawa.  Media sebenarnya ialah ‘agenda setter’( penentu agenda). Namun begitu, media baru juga boleh dimanipulasi jika orang yang mahu mempergunakannya itu bijak  ( Edmund TerenceGomez, 2007).
 Secara langsung menunjukkan bahawa media baru meyumbang kepada proses demokrasi.  Media baru memainkan peranan penting dan industri media beroperasi dalam negara bersistem demokrasi.Menurut Slack, teknologi komunikasi atau media baru boleh memperkecilkan khalayak iaitu mesej boleh disampaikan oleh tiap-tiap individu dalam khalayak yang ramai( Rogers, 1983:12) Contohnya, kita lihat kemenangan Presiden Barak Obama di Amerika Syarikat yang menggunakan strategi 'New Media ' sebagai peneraju kempen dan kutipan sumbangan politiknya yang telah memberikan kemenangan besar kepada beliau.  Dengan menggunakan kekuatan pendekatan 'social media' seperti You Tube, Twitter, Facebook,Digg Flicker, Barack Obama telah melancarkan kempen pilihanraya melalui jaringan sosial tersebut. Dengan bantuan ' Blue StateDigital  sebagai  konsultan web, Obama yang membangun 2 website tersebut, Obama mendapat  lebih 1 juta alamat email dalam waktu 18 bulan dan mengumpul dana sumbangan sebesar 250 juta dollar melalui website: BarackObama.com dan my.BarackObama.com telah menjadi sumber utama informasi mengenai Obama dan  penghubung dengan seluruh sosial media yang ada di Internet. Apabila Barack Obama dan tujuh calon lain mula mengaturkan pencalonan masing - masing untuk jawatan Presiden Demokrat pada 2007, hasil tinjauan mendapati Obama kerap diletakkan di tempat kedua selepas calon pilihan dari New York, Hillary Clinton. Namun, Obama tekah berjaya di peringkat awal dalam usaha mendapatkan sokongan  terutamanya dalam golongan muda, membentuk organisasi  kempen di peringkat akar umbi di seluruh negara dan menubuhkan tabung menerusi Internet.(Dewey M. Clanton,2010).

            Keseluruhannya, segala persoalan yang wujud berikutan kemenangan pilihan raya Barack Obama di Amerika Syarikat sememangya mempunyai perkaitannya dengan sumbangan aktif dalam perkembangan teknologi komunikasi atau media baru dalam proses demokrasi. Kebijaksanaan Barack Obama dalam mengaplikasikan dan menggunakan medium media baru sewaktu sesi pilihan raya lalu dalam meraih undi dan sokongan daripada masyarakat Amerika telah berjaya mengangkatnya sebagai Presiden di Amerika Syarikat . Jelas terbukti medium teknologi komunikasi menggalakkan penyertaan rakyat dalam proses pilihanraya iaitu mereka boleh berbincang secara maya 'virtual' tentang situasi politik, perkembangan kempen, siapa yang dicalonkan dan sebagainya. Sekali gus, meningkatkan penglibatan mereka dalam penggunaan teknologi komunikasi serta memberi pengetahuan yang mendalam mengenai demokrasi.

ZANIDA YUSOF

Sunday 16 October 2011

PENDEFINISIAN TEKNOLOGI DAN DEMOKRASI DAN APAKAH PERKAITAN TEKNOLOGI DENGAN DEMOKRASI??


Sebelum mendalami topik dalam blog kami, anda harus mengetahui apa itu definisi teknologi komunikasi dan demokrasi. Apabila kita mengupas mengenai isu-isu demokrasi, apa yang berkait rapat ialah pengertian demokrasi itu sendiri.
Definisi Teknologi
Menurut (William Paisley,1985) teknologi adalah berasal daripada perkataan dasar Latin iaitu "Texere" yang bermaksud membentuk atau menubuhkannya. Teknologi adalah merupakan satu corak untuk sesuatu tindakan yang bertujuan untuk mengurangkan ketidakpastian dalam perhubungan sebab dan akibat dalam usaha untuk mencapai sesuatu matlamat yang dimiliki. 
Rogers (1983:12) menyatakan bahawa sesuatu teknologi biasanya mempunyai aspek perkakasan yang mengandungi bahan atau objek fizikal dan aspek perisian yang mengandungi asas informasi untuk perkakasan itu.
Menurut (Slack 1984:2) teknologi adalah merupakan alat perkakasan, struktur organisasi dan nilai-nilai sosial yang dialami oleh seseorang individu semasa mengumpul, memproses dan bertukar-tukar informasi dengan individu-individu yang lain. .
(Mac Luhan, 1965: 2) pula mentafsirkan teknologi media membolehkan kita melihat dunia mengetahui peristiwa-peristiwa yang berlaku pada jarak jauh yang mungkin tidak dapat kita alami secara langsung.
Secara amnya:
Teknologi komunikasi pula adalah sistem elektronik yang digunakan untuk berkomunikasi antara individu atau sekumpulan manusia. Teknologi komunikasi memudahkan komunikasi antara individu atau sekumpulan manusia yang tidak bertemu secara fizikal di lokasi yang sama. Contoh teknolgi komunikasi ialah telefon, teleks, faks, radio, televisyen, internet dan lain-lain lagi.
Definisi demokrasi
 Demokrasi berasal daripada perkatan Greek iaitu "Demos" yang bermaksud rakyat dan "Kratia" yang bermaksud pemerintahan. Demokrasi dapat dirumuskan sebagai pemerintahan yang diuruskan oleh rakyat dakam sesuatu masyarakat.
      Demokrasi pada hari ini ditakrifkan sebagai satu sistem politik yang memberi peluang kepada rakyat jelata membuat keputusan-keputusan secara umum. Demokrasi merupakan corak pemerintahan moden yang tercipta pada abad ke-19 dan 20 dan dianggap sebagai syarat asas sebelum sesebuah negara itu dapat dianggap sebagai negara demokrasi.
 R.M Maclver (1964: 24) berpendapat bahawa demokrasi bermaksud rakyat tidak memerintah tetapi mereka mengawal pemerintahan dengan cara menunjuk perasaan secara berterusan melalui pilihan raya. Berbanding dengan J. W Garner yang menyatakan bahawa demokrasi bererti pemerintahan yang mirip kepada perwakilan iaitu pegawai-pegawai atau ejen pemerintahan dipilih oleh pengundi secara langsung.
      John Locke (1968: 206) pula berpendapat bahawa demokrasi berlaku apabila majoriti mempunyai kuasa yang penuh dalam membuat undang-undang dan undang-undang tersebut dilaksanakan oleh pegawai-pegawai yang dipilih . Teknologi dan demokrasi mempunyai hubungkait yang sangat penting kerana teknologi merupakan sumbangan yang tinggi dalam proses demokrasi.
Melalui pernyataan Keane (di dalam Kolt Voltmer 1991: 3) yang menganggap media merupakan institusi demokratik dan juga digunakan dalam proses politik sebagai penghubung kerajaan, parti politik, calon dan jugapara pengundi. Kemajuan yang wujud di dalam era globalisasi kini telah menyebabkan kita semakin bertamadun dan berpengetahuan. Segala pencarian maklumat hanyalah berada dihujung jari sahaja.
Secara amnya:
Demokrasi ialah satu bentuk kerajaan di mana kuasa menggubal undang-undang dan struktur kerajaan adalah di tentukan oleh rakyat. Demokrasi boleh di sama ertikan dengan pemerintahan oleh rakyat. Dalam sistem demokrasi, undang-undang di gubal oleh rakyat atau wakil rakyat yang di pilih oleh negara. Sesebuah negara yang mengamalkan system demokrasi juga di panggil sebagai negara demokratik. Maksud demokrasi ini di petik daripada perkataan yunani iaitu bermaksud “di perintah oleh rakyat”. Antara yang ada dalam sesebuah negara demokrasi ialah perlembagaan, pilihanraya, hak mengundi,hak golongan minoriti, kebebasan bersuara, kebebasan beragama, kebebasan akhbar dan media, kebebasan berpersatuan, rakyat memiliki hak yang sama dalam undang-undang. Masyarakat keseluruhannya juga akan mendapat manfaat yang seimbang dalam konteks sosial, ekonomi dan konteks-konteks yang lain.
Apakah perkaitan teknologi dalam demokrasi?
Teknologi komunikasi seperti internet dan SMS sememangnya merupakan alat yang sangat penting dalam sesebuah masyarakat. Ia bukan sahaja berkuasa untuk membangunkan sesebuah masyarakat tetapi juga memajukan lagi negara. Tanpa teknologi komunikasi, sudah pastinya masyarakat di sesebuah negara akan ketinggalan dan mundur. Apabila memperkatakan tentang teknologi komunikasi, kita tidak memisahkannya dengan sistem-sistem yang wujud dalam masyarakat seperti politik dan ekonomi kerana ia saling berkaitan. Teknologi komunikasi atau secara spesifiknya internet dilihat mempunyai peranan yang sangat penting dalam sistem-sistem masyarakat. Namun persoalanya adakah benar sistem teknologi komunikasi ini dapat mengubah sistem-sistem dalam masyarakat ataupun sistem politik itu sendiri yang berkuasa dalam menentukan penggunaan teknologi komunikasi?
Dari sudut positif, perkembangan sistem teknologi komunikasi ini dapat mengubah struktur masyarakat terutama dalam politik, ekonomi dan sosial sama ada secara lansung atau tidak langsung. Contohnya, penggunaan internet dan sms yang dapat berfungsi sepenuhnya dalam memberi maklumat secara tepat, cepat dan mudah diakses. Kewujudan teknologi komunikasi ini juga dapat dimanfaatkan oleh setiap individu dalam menjalani tanggungjawab sosial mereka atau sebagai keperluan dalam kehidupan mereka. Dikatakan bahawa internet adalah salah satu penyebab utama kekalahan BN kepada PR di lima buah negeri pada pilihanraya yang lalu. Ini kerana internet telah dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh orang ramai dan pihak pembangkang dalam menyebarkan propaganda dan mendedahkan kelemahan BN. Semua ini mempengaruhi rakyat dalam pengundian. Hal ini telah membuktikan betapa kuatnya penggunaan teknologi komunikasi ini dalam sistem politik negara yang dapat mempengaruhi sesetengah masyarakat.


Selain itu, kuasa teknologi komunikasi ini juga dapat memberi peluang kepada masyarakat untuk menyuarakan pendapat dan berdebat tentang isu yang dibangkitkan dalam politik Negara. Hal ini dapat mempraktikkan kesedaran dan wujud pelbagai pendapat yang dapat memuaskan masyarakat itu sendiri dalam proses demokrasi. Namun, sekiranya kewujudan sistem teknologi ini mampu menjadi sumber kepada masyarakat, tetapi adakah ia mampu mengubah masyarakat atau sistem politik itu ataupun sistem politik itu yang telah mengubah penggunaan teknologi ini sepenuhnya. Oleh itu, seperti yang kita sedia maklum, walaupun wujud debat mengenai isu politik dalam sistem teknologi, namun terbuktikah keberkesanannya dalam mengubah struktur politik negara. Untuk setakat ini, jawapan pastinya adalah TIDAK. Ini kerana walaupun pelbagai maklumat dikemukakan menerusi teknologi komunikasi ini, namun pihak kerajaan tidak pernah mempertimbangkan apa yang diperdebatkan oleh masyarakat menerusi internet. Semua kandungan internet yang mengkritik kerajaan dianggap sebagai fitnah dan tidak boleh dipercayai serta suara minoriti. Dalam masa yang sama, kerajaan cuba menyekat kebebasan internet dengan mencabul undang-undang ketiadaan penapisan internet.
Hakikatnya, teknologi komunikasi walaupun mempunyai peranan yang besar kepada masyarakat keseluruhannya, Namun kuasanya  masih lagi terhad dalam mengubah sistem dalam masyarakat yang Jelas didominasi  dan dikuasai oleh kerajaan.  Sebaliknya, teknologi Komunikasi itu sendiri yang terus berada dalam genggaman pemerintah dengan Pelbagai undang-undang yang membataskan  Kebebasan teknologi Komunikasi. Sampai  bilakah keadaan ini akan berterusan? Ia akan  berterusan sampai bila-bila  Seandainya kerajaan terus mengekalkan dasar dan prisip  pentadbiran yang Jelas melanggar dan mencabul Demokrasi.

Saturday 15 October 2011

PEMILIKAN MEDIA MASSA DAN DEMOKRASI

     Teknologi komunikasi  tidak boleh lari dari pemilikan media dan perkara ini mempengaruhi demokrasi sesebuah negara. Jika di Malaysia, kerajaan memiliki Radio Televisyen Malaysia(RTM). Media Prima pula memiliki New Straits Times Press (M) Bhd yang menerbitkan New Straits Times, New Sunday Times, Berita Harian, Berita Minggu, Harian Metro, memiliki TV3, 8TV, Channel 9 dan NTV7, serta HotFM dan FlyFM. Tambahan lagi, Media Prima dikatakan rapat dengan UMNO.Manakala, Huaren Management Sdn Bhd, syarikat pelaburan MCA, menerbitkan The Star, Sunday Star, Nanyang Siang Pau, China Press dan radio RedFM, SuriaFM dan 988. 

      Walaupun media massa swasta dimiliki oleh golongan kapitalis namun hakikatnya ia mempunyai perkaitan dengan kerajaan menerusi pemilikan tidak langsung iaitu pemilikan ekonomi serta kawalan undang-undang. Sebagai contohnya, Media Prima Berhad adalah dimiliki oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB). Manakala, MRCB adalah di bawah Khazanah Nasional iaitu satu organisasi yang dimiliki oleh kerajaan. MCA pula pemegang saham terbesar The Star, Nanyang Siang Pau dan Sin Chew Jit Poh. MIC pula memiliki Tamil Nesan. Itu adalah sebahagian daripada keadaan yang menunjukkan bagaimana media massa di Malaysia ini dimiliki oleh pihak kerajaan dan golongan kapitalis. Secara keseluruhannya kesemua media massa adalah di bawah kawalan undang-undang yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.
  
       Menurut kementerian Penerangan, 1983 menyatakan fungsi rasmi RTM TV1 dan TV2 adalah untuk menerangkan dengan lebih dalam dan luas program kerajaan untuk memastikan pemahaman maksimun oleh umum. Fungsi lain adalah untuk merangsang minat dan pendapat umum agar mencapai perubahan seperti yang dikehendaki kerajaan. Seterusnya adalah untuk menggalakkan kesedaran sivik dan memupuk perkembangan seni dan budaya Malaysia. Akhir sekali adalah untuk menyediakan elemen sesuai untuk pendidikan, maklumat dan hiburan dan membantu usaha integrasi nasional dalam masyarakat pelbagai etnik melalui penggunaan bahasa.

     Antara kesan-kesan pemilikan media dan hubungan rapat antara kerajaan dengan media ini adalah campur tangan kerajaan dalam urusan media. Contohnya, apabila editor dipecat atas kehendak pemimpin politik seperti editor  New Strait Times, Abdullah, 2003 dan diganti dengan Kalimullah. Selain itu, apabila pembangkang mencabar hegemoni, media menjadi alat kawalan, contohnya pemecatan Anwar pada tahun 1998. Seterusnya ialah liputan positif parti pemerintah ketika pilihan raya. Peratusan berita negatif terhadap parti kerajaan ialah 1.7 peratus (Mustafa 2005: 33).

     Dengan kesan-kesan ini, Pemilikan media massa oleh kerajaan sama ada pemilikan langsung, tidak langsung serta menerusi kawalan undang-undang jelas mencacatkan sistem demokrasi dimana ia akan menghalang teknologi komunikasi untuk berfungsi sebagai medium demokrasi kepada masyarakat. Media massa yang dimiliki oleh kerajaan sama ada secara langsung atau tidak langsung menyebabkan kandungan media massa terus bermanfaat kepada pihak kerajaan sahaja. Ia sekaligus menafikan hak rakyat untuk mendapatkan kepelbagaian maklumat daripada pelbagai pihak.Hakikatnya, pemilikan oleh kerajaan dan golongan kapitalis ini jelas menggagalkan teknologi komunikasi untuk muncul sebagai medium demokrasi kepada masyarakat