Search This Blog

Saturday 3 December 2011

PELAKSANAAN E-DEMOKRASI DALAM KONTEKS TEKNOLOGI KOMUNIKASI

Pelaksanaan e-kerajaan dalam sektor perkhidmatan awam dipercayai dapat menambahbaik mutu perkhidmatan awam agar lebih kos efektif dan berkesan. Di samping itu, ia juga dilihat mewujudkan satu saluran baru bagi meningkatkan penyertaan secara langsung rakyat dalam pengubalan dasar-dasar awam selaras dengan harapan pendukung sistem demokrasi yang berpaksikan kepentingan rakyat. 


Revolusi sains dan teknologi dalam bidang komunikasi yang melibatkan penggunaan komputer, Internet, kamera digital dan telefon bimbit telah memberi kesan yang amat besar dalam hubungan sesama manusia secara individu mahupun secara kolektif. Perubahaan pantas teknologi bidang komunikasi dan maklumat ini telah berjaya mengubah cara dan jangkamasa manusia membuat, melaksana dan mengunjur keputusan mengenai pelbagai isu yang berkaitan politik, ekonomi dan sosialnya.


Penggunaan ICT secara aktif dipercayai dapat
menwujudkan warga yang bermaklumat dan berpengetahuan serta ruang penyertaan yang luas dalam proses politik seperti yang dianjurkan oleh prinsip demokrasi. Rakyat secara tidak langsung dapat meningkatkan penyertaan mereka dalam proses pengubalan undang-undang, dasar awam dan proses eksekutif kerajaan dengan mengambil bahagian dalam kaji selidik pendapat umum, perbahasan, forum, perundingan, blog lobi kumpulan pendesak dan pada masa yang sama terdedah kepada maklumat dan pengakuan pakar yang dikemukakan melalui ICT.

Friday 2 December 2011

KEBERKESANAN AKTA DALAM DEMOKRASI

Dalam isu keberkesanan akta dalam demokrasi dalam ruangan ini saya menumpukan kepada keberkesanan akta komunikasi dan multimedia. Akta komunikasi dan multimedia (Seksyen 3(3)) telah digubal pada tahun pada tahun 1998. Akta ini telah dikuatkuasakan pada tahun 1998 oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan  Kebudayaan. Akta ini berfungsi bagi memantau industri komunikasi dan multimedia di Malaysia.
          Namun begitu, akta ini tidak memperuntukkan sebarang penapisan dalam internet. Setiap bahan-bahan dan maklumat sama ada dari segi hiburan, sosial, politik, pendidikan dan sebagainya dapat disiarkan dalam internet tanpa sebarang kawalan dan sekatan oleh mana-mana pihak. Hal ini seterusnya telah menyebabkan wujudnya kebebasan kepada pengguna internet serta para bloggers khususnya dalam mendapatkan atau menyampaikan sebarang maklumat melalui internet. Biasanya, maklumat-maklumat yang disampaikan oleh blogger khususnya adalah berdasarkan pandangan mereka terhadap sesuatu isu yang berlaku dalam sesebuah negara.
          Selalunya dalam blog atau sesuatu laman web yang diakses oleh pembaca akan membolehkan pembaca memberi respond terhadap segala isu yang menjadi topik kepada maklumat yang disampaikan. Di sini kita dapat melihat bahawa wujudnya ‘public sphere’ dalam kalangan pembaca sendiri. Pembaca turut dapat memberi sebarang pendapat secara terbuka tanpa perlu rasa takut kerana identiti mereka tidak dapat diketahui oleh sesiapa pun. Begitu juga dengan penulis blog yang bebas menulis dan menyampaikan sebarang bentuk penulisan mereka sama ada positif atau negatif. Situasi ini telah membuktikan bahawa Akta Komunikasi dan Multimedia sememangnya telah mewujudkan satu konteks demokrasi yang sebenar dalam negara Malaysia.
          Walaupun akta komunikasi dan multimedia ini telah memberikan kebebasan terutamanya terhadap teknologi komunikasi namun ia juga turut memberi impak negatif. Impak negatif tersebut telah dinyatakan dalam posting sebelum ini. Keadaan ini telah mendorong menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim ingin menguatkuasakan akta ini. Menurut beliau, kerajaan sebenarnya tidak akan menyekat kebebasan rakyat terhadap penggunaan internet dalam mendapatkan pelbagai maklumat ataupun menyampaikan sebarang bentuk maklumat. Beliau menegaskan bahawa penguatkuasaan ini perlu kerana rakyat tidak boleh menerima sebarang maklumat kerana  kesahihan maklumat tersebut belum dipastikan.
            Hal ini jelas menunjukkan bahawa fungsi akta tersebut telah memberi kesan sama ada baik mahupun buruk kepada masyarakat di Malaysia ini. Walaupun jelas bahawa akta ini memberikan kebebasan kepada semua orang, namun masih ada golongan yang menyalahgunakan kebebasan tersebut misalnya penyebaran fitnah, pornografi, dan budaya-budaya yang bertentangan dengan nilai kehidupan masyarakat kita.

Saturday 26 November 2011

Peranan Masyarakat Sivil Terhadap Pendemokrasian Di Malaysia

Menurut Gallie (1964: 158), demokrasi merupakan satu sistem politik yang dikenali juga sebagai "essentially contested concept" iaitu terdapat persaingan dalam sistem politik itu sendiri.
Para sarjana seperti Dahl (1989), beranggapan bahawa sistem demokrasi merupakan sistem yang mementingkan pandangan rakyat terhadap ketelusan pemerintahan sesebuah kerajaan.
Berlainan pula dengan M. Natsir (1987: 45), demokrasi berbeza dengan pemerintahan kuku besi dan disebut sebagai thesistik-demokrasi iaitu sistem pemerintahan yang mengutamakan rakyat tetapi masih berpaksi kepada hukum-hukum Allah.
Heimanson (1967: 53) pula berpendapat proses pendemokrasian merupakan pelaksaan demokrasi terhadap sesuatu kawasan.

Menurut Syed Ahmad (1994: 96-98) pula, dalam pelaksanaan demokrasi, aspek penyertaan rakyat dalam proses pemilihan kerajaan dianggap penting selain daripada aspek keadilan dan kesaksamaan.
Zaini (2006: 29) juga mengatakan bahawa tahap demokrasi sesebuah negara dapat diukur melalui pilihanraya yang bersih, kebebasan awam, bebas berorganisasi, pemilihan berdasarkan majoriti, ketelusan kehakiman, dan masyarakat sivil.


Masyarakat sivil merupakan golongan masyarakat yang sukarela dan aktif dengan bantuan badan pertubuhan sivik dan sosial, institusi-institusi media massa, dan organisasi swasta dalam memperjuangkan hak-hak asasi manusia.


Pendapat Kua (1995: 53), cara-cara masyarakat sivil dalam proses pendemokrasian seperti demonstrasi aman, pengedaran risalah kempen dan mengadakan rapat umum telah menyebabkan kerajaan memberi perhatian oleh kerana tekanan yang diterima daripada masyarakat antarabangsa.
Menurut Kua (2005: 21-25) lagi, masyarakat sivil berada di kedudukan antara ruang massa dan kerajaan. Oleh itu, hal ini menjadi agen pendemokrasian yang sesuai dalam menggerakkan setiap kempen yang dilaksanakan. Antara salah satu indikator yang digunakan dalam mengukur tahap demokrasi sesebuah negara ialah melalui pengamalan konsep "Rule Of Law".


Peranan masyarakat sivil di Malaysia terhadap proses pendemokrasian dapat dilihat melalui usaha-usaha pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dalam memartabatkan hak asasi manusia. NGO berperanan sebagai kumpulan pendesak kepada keteluusan pemerintahan kerajaan. Contohnya dapat dikesan berdasarkan kemunculan BERSIH iaitu gabungan NGO dengan parti pembangkang yang menggesa Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) untuk memperkenalkan sistem pencelupan jari dengan dakwat untuk pilihanraya akan datang bagi mengelakkan pengundi hantu. Hal ini bertujuan untuk mewujudkan sistem demokrasi yang tulen dan pilihanraya yang adil. Gesaan ini berjaya apabila pihak SPR bersetuju melaksanakan teknik tersebut.

Selain itu, masyarakat sivil di Malaysia juga mewujudkan pertubuhan gerakan demokrasi dan anti korupsi untuk mendesak kerajaan membersih dan merekonstruksi semula Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya perkhidmatan BPR akan menjadi lebih telus dan tidak berat sebelah dalam menjalankan tugasan.
Malah, BPR perlu diberi kuasa pendakwaan ke atas kes-kes rasuah tanpa perlu merujuk kepada Jabatan Peguam Negara.
Kesan daripada gesaan ini, kerajaan Malaysia bertindak tidak meneruskan kontrak Ketua Pengarah BPR serta mempergiatkan kempen benteras rasuah dalam kalangan pegawai kanan kerajaan.
Ditafsirkan sebagai kumpulan pendesak, masyarakat sivil berperanan sebagai "watchdog" dan pengimbang kepada kuasa kerajaan. Hal ini mendorong kepada proses pendemokrasian yang utuh di Malaysia.

Kesimpulannya, menurut Zaini (2006: 30), kewujudan masyarakat sivil dianggap sebagai penanda aras kepada sistem demokrasi. Oleh itu, hal ini tidak bolah dipandang sinis kerana ia merupakan salah satu tonggak kepada demokrasi dan pendemokrasian sesebuah negara. Masyarakat sivil merupakan agen pendemokrasian yang tidak berpaksikan kepada sesebuah parti politik atau kepentingan politik, tetapi sebagai ruang antara kerajaan dengan masyarakat.

Sumber:
Gallie W B. (1964). Philospher Of Peace And War. Cambridge: Cambridge University Press
Dahl R. (1989). Democracy And Its Critics. New Haven: Yale University Press
M. Natsir (1987). Demokrasi Di Bawah Hukum. Jakarta: Media Dakwah Press
Heimanson R. (1967). Dictionary Of Political Science And Law. New York: Ocean Publications.
Kua Kia Soong (2005). The Malaysian Civil Movement. Petaling Jaya: SIRD.
Zaini Othman (2006). Demokrasi Di Negara Sedang Membangun: Pengalaman Asia. Dalam Ghazali Mayudin. Demokrasi Kepimpinan Dan Keselamatan Dalam Politik Malaysia. Bangi: Penerbitan Universiti Kebangsaan Malaysia.


Tuesday 22 November 2011

Keburukan Teknologi Komunikasi Dalam Kehidupan

Revolusi komunikasi telah berlaku sejak tahun 1955 lagi melalui teknologi komunikasi. Revolusi ini telah mencetuskan fenomena baru dalam transformasi teknologi komunikasi. Pelbagai teknologi baru wujud hasil daripada revlusi ini. Melalui teknologi-teknologi yang dinikmati oleh kita pada hari ini menunjukkan bahawa kita mendapat pelbagai kemudahan dalam segala urusan yang ingin kita laksanakan dengan lebih mudah, tangkas dan cepat.
Dunia ini semakin mudah kita rasakan dengan kehadiran teknologi-teknologi yang semakin moden dan canggih. Kita hanya dimomokkan dengan segala kebaikan teknologi-teknologi yang kita kecapi tanpa menyedari bahawa ia bukan hanya memberikan kebaikan semata-mata malahan ia turut memberi impak yang negetif kepada kita sendiri.
            Tahukah anda impak-impak negetif hasil daripada kemajuan teknologi pada hari ini? Salah satu kesan negetif yang paling jelas dapat kita lihat adalah akan menyebabkan berlakunya demonstrasi jalanan ataupun rusuhan dalam sesebuah masyarakat. Mutakhir ini, kita dapat melihat semakin banyak demonstrasi ataupun rusuhan yang berlaku di seluruh dunia. Keadaan ini bukan hanya mengganggu kehidupan masyarakat setempat malahan ia turut mengganggu gugat keamanan kepada sesebuah negara.
 Sebagai contoh yang terdekat ialah rusuhan yang berlaku di Mesir awal tahun ini. Kebangkitan rakyat dalam menjatuhkan rejim Hosni Mubarak yang telah memerintah selama 30 tahun menunjukkan bahawa teknologi media baru berperanan besar dalam rusuhan yang berlaku di Mesir. Teknologi media baru yang digunakan oleh rakyat mesir dalam mendesak Hosni Mubarak meletak jawatan dan mengadakan rusuhan tersebut ialah melalui laman social terutamanya facebook dan twitter. Kita juga sedia maklum bahawa penggunaan facebook terutamanya menjadi sangat popular pada masa kini.
            Selain itu, keburukan teknologi juga dapat dilihat melalui penyebaran fitnah secara berleluasa berlaku. Apa yang dimaksudkan dengan fitnah di sini ialah sesuatu berita yang belum dipastikan lagi kebenarannya tersebar secara meluas tanpa sebarang sekatan. Perkara yang paling membimbangkan ialah kita tidak mampu menyaman atau mendakwa siapa yang menyebarkan fitnah kerana laman web misalnya tidak memaparkan identity sebenar penyabar fitnah tersebut. Melalui situasi ini, penyebaran fitnah akan terus dilakukan oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab tanpa ada rasa takut. Justeru, tidak hairanlah banyak fitnah disebarkan dalam laman web atau laman social pada hari ini.
            Di samping itu juga, teknologi juga mampu menyebabkan pengangguran dalam sesebuah negara. Penggunaan teknologi menunjukkan bahawa bidang pekerjaan akan diambil alih oleh mesin iaitu robot dan komputer. Tenaga buruh daripada manusia akan dikurangkan penggunaannya kerana penggunaan teknologi mesin dilihat menjadi lebih pantas dan efisien. Penggunaan tenaga buruh juga akan menjadi lebih tinggi kosnya berbanding penggunaan teknologi disamping dapat menhasilkan produktiviti yang lebih baik berbanding penggunaan tenaga buruh.
Contohnya kilang Nissan di Jepun yang menggunakan teknologi mesin membuat kereta yang lebih efisen dan berproduktiviti. Namun, kemudahan ini hanya memberikan kebaikan kepada syarikat yang menggunakannya tanpa memikirkan kesan kepada pengangguran di masa hadapan. Tom Stonier juga telah mengandaikan bahawa hanya 10% tenaga buruh akan digunakan dalam tahun 2000.
Keburukan teknologi bukan lagi satu fenomena baru yang wujud dalam masyarakat. Walaupun kebaikannya dapat kita nikmati pada hari ini, keburukannya tetap perlu menjadi topik perbincangan untuk kita menyedarinya. Schiller juga pernah menyatakan bahawa kebanyakan teknologi hanya digunakan oleh golongan tertentu untuk kepentingan mereka sahaja dan bukannya untuk masyarakat. Beliau juga berpendapat bahawa teknologi komunikasi ini turut menindas masyarakat disamping mewujudkan jurang antara golongan yang kaya dan juga miskin.  
            

Saturday 19 November 2011

Perkembangan Blog Politik di Malaysia



Secara amnya, blog politik boleh didefinisikan sebagai blog yang sering mengetengahkan isu-isu yang berkait rapat dengan politik. Ianya juga turut berperanan sebagai medium alternatif bagi menyatakan pendapat, mengkritik, menghentam, mahupun memuji sesuatu isu yang berkaitan dengan politik. Antara elemen yang penting dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi dan kebebasan bersuara, seharusnya sesebuah kerajaan boleh dikritik tanpa sebarang sekatan. Namun, ini jelas tidak dapat direalisasikan sepenuhnya di Malaysia kerana masih ada banyak halangan yang wujud, antaranya masalah daripada segi perundangan.
Menurut Wall (2005), antara faktor utama kepada peningkatan penggunaan blog adalah disebabkan oleh sifatnya yang dinamik, universal, kebebasan di dalam menyuarakan pandangan penulis, bebas daripada suntingan dan tidak tertakluk kepada sebarang polisi seperti di dalam organisasi media, mudah untuk dikemaskini serta memiliki rangkaian jaringan dan komentar kepada lain-lain blog sekaligus mewujudkan rangkaian yang dikenali sebagai blogsphere. Selain itu, sekatan yang dikenakan ke atas aliran media perdana juga turut dijadikan punca kepada tercetusnya kebangkitan media alternative. Ini kerana pemilikan media aliran perdana yang didominasi oleh golongan politik yang berkepentingan membawa kepada kawalan ke atas maklumat yang disampaikan. Mengikut Hiller (2001), dalam konteks Malaysia, UMNO merupakan parti politik yang bernaung dibawah kerajaan persekutuan turut melabur ke atas Fleet Holdings dan Renong Berhad seterusnya membawa kepada pemilikan bersama akhbar Utusan Melayu dan New Straits Times Press (NSTP). Oleh demikian, media alternatif ini telah berkembang dengan pesat dialam maya bagi membolehkan para pembaca dan penggemar blog saling berhujah, mengkritik, bertukar dan menyuarakan pendapat masing-masing mengenai suasana politik di tanah air tanpa perlu risau akan sebarang ancaman undang-undang.
 Kesan yang diakibatkan oleh penggunaan internet (blog) terhadap aspek politik juga sememangnya mendapat perhatian daripada para pengkaji berikutan sifat internet itu sendiri yang tidak terikat dan dikawal oleh mana-mana pihak mahupun gatekeepers seperti yang terdapat dalam kebanyakan media massa arus perdana.Malahan keadaannya akan dapat dilihat dengan lebih jelas sekiranya sesebuah negara itu mengenakan sebarang bentuk sekatan terhadap kebebasan medianya menerusi aspek pemilikan mahupun undang-undang. Jika ini terjadi maka media alternatif seperti blog akan menjadi platform untuk mendapatkan maklumat oleh rakyat. Perkembangan blog politik di Malaysia bukanlah suatu fenomena yang luar biasa. Ini kerana fenomena ini bersifat global dan berlaku diseluruh dunia dimana blog dijadikan medium menjana idea dan pendapat sekaligus memberikan impak yang besar kepada lanskap politik dan sosio ekonomi sesebuah negara.
Blog di Malaysia telah kian berkembang rentetan daripada peristiwa yang telah terjadi contohnya seperti peristiwa kegawatan ekonomi global yang banyak membawa perubahan serta memberikan impak yang besar kepada Malaysia. Selain itu, peristiwa pada tahun 1998 juga banyak menyumbang ke arah perkembangan ini apabila Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatannya pada ketika itu, sebagai Timbalan Perdana Menteri seterusnya dituduh atas kesalahan menyalahgunakan kuasa politik dan isu liwat sehingga mengakibatkan beliau dihukum penjara. Rentetan-rentetan peristiwa ini telah menjadi pemangkin utama kepada peningkatan penggunaan internet. Tambahan pula, kebanyakan media arus perdana contohnya seperti Utusan dan RTM sememangnya diselia penuh dan dikuasai oleh kerajaan pemerintah membuatkan media alternatif seperti blog mendapat perhatian ramai dalam mendapatkan berita dan maklumat tanpa berat sebelah (biased). Sepertimana yang dinyatakan oleh, Abbott dan Gomez (2004), Internet dilihat sebagai titik peralihan kepada liberalisasi dan kebebasan menyuarakan pendapat dan pandangan tanpa melalui tapisan.

Berdasarkan kenyataan yang pernah disebut oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Musa Hitam:
Internet diabaikan oleh ahli politik sebaliknya ia menjadi alat penting oleh pengkritik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membentuk dan mengacuankan pandangan umum. Medium itu menjadi penting akibat keruntuhan kredibiliti media cetak dan elektronik tradisional. Keadaan itu membuatkan kita semua menerima digital sebagai alternatif media dan sebagai saluran meluahkan pandangan. Ia juga penting kerana menandakan kemasukan pengundi muda yang jumlahnya begitu besar (Utusan Online,2008).

Kenyataan beliau membuktikan bahawa betapa media alternatif dan blog memberi kesan signifikan dalam menyalurkan maklumat yang sekaligus boleh mempengaruhi pemikiran rakyat secara amnya. Keseriusan impak itu boleh menjurus kepada perubahan yang besar kepada sistem politik tanah air contohnya seperti apa yang berlaku ketika era pemerintahan bekas Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi dimana beliau telah menggunakan konsep dan pendekatan yang berbeza berbanding dengan apa yang pernah dilakukan oleh Perdana Menteri yang sebelumnya, Mahathir Mohamad. Abdullah telah berjaya mengembalikan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) dengan meraih kemenangan besar dalam Pilhanraya Umum 2004. Namun pada hakikatnya, beliau seringkali dijadikan sasaran kritikan ketika memimpin negara dari 2003-2009 berikutan dengan dasar pentadbirannya yang dilihat sebagai lemah.

Apakah yang dimaksudkan dengan lemah? Abdullah meneruskan tradisi pemerintahan yang sebelumnya tanpa banyak perubahan yang dilakukan khususnya terhadap aspek dasar yang terdahulu. Pentadbiran beliau juga dilihat lebih kepada bersifat terbuka, mementingkan kesepakatan dan bersifat kurang konfrontasi sekaligus membuatkan beliau lemah dan akhirnya tumbang dalam PRU-12 seterusnya menyumbang ke arah keretakan hegemoni yang diterajui kerajaan beliau. Daripada sudut teori, Hegemoni adalah merupakan satu konsep yang diilhamkan oleh Antonio Gramsci (1891-1937) menerusi penulisannya yang terkenal “The Prison Notebook” dimana ia bermaksud keadaan dalam satu-satu situasi golongan dominan yang melaksanakan kepimpinannya menerusi penggabungan elemen paksaan ke atas kelas yang dipimpin dan cuba untuk mengekalkan kuasa ke atas aspek ekonomi, politik dan arah aliran budaya negara (Sullivan, 1983:102).



Hegemoni pemerintahan Abdullah dilihat telah terhakis berikutan tindakan anggota masyarakat yang secara terang-terangan berani menyatakan bantahan terhadap tampuk kepimpinan yang dirasakan tidak relevan dengan keadaan semasa yang juga dikenali sebagai “counter-hegemony” iaitu satu sekatan yang dilakukan ke atas perluasan hegemoni oleh para pemimpin dan golongan elit yang sentiasa mengawal tindak-tanduk masyarakat. Menurut Azila& Sulastry (2009), senario berkenaan kian memuncak menerusi penggunaan ruang siber (blog) oleh golongan masyarakat meliputi pelbagai latar belakang dalam menyuarakan pandangan mereka secara terbuka di dalam blog-blog persendirian.

Oleh demikian, kekalahan besar telah terjadi kepada kerajaan pimpinan Abdullah Ahmad Badawi ketika PRU-12 dimana ianya memberi tamparan yang cukup hebat setelah pakatan pembangkang yang hanya berkempen dalam tempoh yang singkat akhirnya berjaya menggagalkan BN dalam memperoleh 2/3 majoriti kerusi parlimen. Pelbagai peristiwa semasa dan sebelumnya juga turut banyak menyumbang kepada kekalahan BN khususnya di lima buah negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.
Kesimpulannya, blog dilihat sebagai medium alternatif yang sangat penting dalam mengupas, mengkritik dan membincang isu-isu semasa dalam negara yang telah membuka mata ramai pihak dalam mendedahkan segala maklumat yang disembunyikan oleh pihak pemerintah menerusi media aliran perdana. Antara isu-isu yang telah meraih perhatian blogger adalah isu penyelewengan, penderaan, korupsi, skandal dan salah laku pemimpin. Justeru itu, melalui pendekatan blog, pembaca akan mendapat maklumat yang lebih seimbang sekaligus membentuk pandangan mereka sebelum mengundi dalam pilihan raya.


Friday 18 November 2011

Perbandingan di antara negara yang mengamalkan demokrasi dengan negara yang tidak mengamalkan demokrasi

Malaysia telah mengamalkan pemerintahan bercorak demokrasi sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Selain Malaysia, terdapat pelbagai negara lagi di seluruh dunia yang mengamalkan sistem demokrasi. Antara negara-negara yang mengamalkan pemerintahan demokrasi adalah seperti Malaysia, Thailand, Britain, India, Australia dan sebagainya. Namun, terdapat juga segelintir negara yang sistem pemerintahannya berlainan iaitu seperti sistem pemerintahan Diktator, Komunisme, Liberal dan Republik. Negara seperti China dan Korea Utara, Rusia, Laos dan Vietnam merupakan negara komunis. Indonesia, Perancis, dan Singapura merupakan contoh negara Republik.
          Perbandingan di antara negara demokrasi dengan negara bukan demokrasi dapat dilihat dan dibezakan dengan jelas melalui undang-undang dan sistem pemerintahan yang dijalankan terhadap rakyat. Bagi negara yang mengamalkan pemerintahan demokrasi, rakyat mempunyai kebebasan bersuara serta kebebasan dalam kehidupan seharian. Rakyat mempunyai hak dalam semua aspek selagi tidak membatasi undang-undang yang telah ditetapkan oleh parlimen. Antara hak rakyat adalah dari segi ekonomi, sosial, agama dan budaya, pendidikan dan sebagainya. Kerajaan tidak boleh menyekat semua hak-hak rakyat dan perlu menjaga kebebasan rakyat dalam negara yang ditadbir hasil pemilihan oleh rakyat sendiri.
          Selain itu, negara demokrasi juga mengamalkan pemilihan pemimpin secara undian yang adil di mana seseorang pemimpin akan dipilih oleh rakyat sendiri dan sekiranya pilihan raya dikawal oleh pihak tertentu atau kerajaan maka ia bukanlah demokrasi seperti yang dimaksudkan. Media massa juga mempunyai hak penyiaran yang bebas untuk menyampaikan berita tanpa dikawal oleh mana-mana pihak di mana semua bahan berita yang disampaikan adalah jujur dan amanah.
          Manakala bagi negara yang tidak mengamalkan sistem pemerintahan berdemokrasi seperti komunis, pemerintah mempunyai kuasa dalam semua perkara dan menguasai segala aspek seperti ekonomi. Rakyat tidak mempunyai hak dan perlu patuh kepada peraturan yang ditetapkan oleh pemerintah dan juga mengamalkan sistem kesetaraan penduduk. Bagi negara Republik pula, kerajaan menguasai semua undang-undang sama ada dalam negeri dan juga negara. Tiada pembahagian kuasa antara negeri dengan negara dan Presiden berkuasa dalam semua aspek.
          Seterusnya negara Liberal seperti Turki di mana pemerintahannya berasaskan kebebasan yang menjadi nilai utama politik. Negara liberal juga menolak pembatasan iaitu dari segi pemerintah dan juga agama. Sebuah negara yang tidak mempunyai agama rasmi dan rakyat tidak boleh mengamalkan atau menonjolkan agama di kawasan awam seperti tidak boleh memakai serban dan hijab bagi penganut islam.
          Dapat dilihat bahawa terdapat banyak perbezaan antara negara demokrasi dengan negara bukan demokrasi dari segi undang-undang dan hak rakyat. Dapat disimpulkan bahawa negara demokrasi menjadi pilihan utama masyarakat dunia pada masa kini kerana masyarakat sedar akan hak mereka sebagai manusia. Negara-negara seperti Komunis, Liberal dan Diktator semakin kurang pengikut dari semasa ke semasa. Namun begitu, pemimpin negara demokrasi juga haruslah jujur dan mengamalkan pemerintahan secara demokrasi  terhadap rakyat supaya erti demokrasi itu tidak tercemar.

Friday 11 November 2011

TEKNOLOGI & DEMOKRASI MELALUI KEBEBASAN BERSUARA

TEKNOLOGI DAN DEMOKRASI MELALUI KEBEBASAN BERSUARA

Teknologi dalam komunikasi telah memberikan banyak manfaat kepada masyarakat di seluruh dunia pada zaman sekarang. Ia membantu manusia menjalani kehidupan harian mereka dengan lebih efisien. Selain itu,maklumat-maklumat juga mudah diperolehi di hujung jari kerana ianya menjadi tidak mustahil dengan kehadiran internet.

Namun begitu, walau canggih mana sekalipun teknologi komunikasi pada zaman ini kita tetap tidak boleh lari daripada kesilapan manusia. Isu video ‘Undilah’ yang diarahkan oleh Pete Teo telah diberi amaran untuk tidak disiarkan dalam media televisyen pada 29 September 2011. Menurut Bernama, Kementerian Penerangan, Komunikasi,dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim berkata ini kerana video itu mengandungi unsur-unsur mempengaruhi masyarakat dengan mesej yang tersirat.
Tambahan beliau pula, video itu juga mungkin akan mengakibatkan sesetengah kumpulan terasa walaupun beliau tidak menamakan kumpulan manakah itu. Pengarah video itu Pete Teo pula berkata beliau tidak faham dengan tindakan Kementerian itu kerana baginya,video itu hanya bertujuan untuk menggalakkan orang ramai mengundi dengan mempamerkan ahli-ahli politik dalam kerajaan dan pembangkang untuk menarik minat masyarakat yang masih belum lagi mendaftar untuk mengundi.

Jika hal seperti ini terus dibiarkan berlaku,ianya dikhuatiri akan menyekat minda kreativiti anak-anak muda di Malaysia yang akan berasa takut jika ingin besuara tentang sesuatu perkara. Adalah tidak guna mempunyai kemajuan dalam teknologi komunikasi jika masyarakat sendiri tidak maju dari segi pemikiran selaras dengan kemodenan zaman sekarang.

Ianya tidak menjadi satu kesalahan untuk kita memanfaatkan penggunaan internet sepenuhnya asalkan niat dan tujuan kita adalah ke arah jalan yang baik. Justeru itu, semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing dan tidak menyalah gunakan kemudahan teknologi komunikasi yang disediakan supaya dapat memanfaatkan semua pihak demi kemajuan bangsa mahupun Negara.